August 23, 2010

pembuangan bayi

Gejala pembuangan bayi ini perlu di beri perhatian yang serius kerana gejala ini membawa impak yang sangat negatif bukan sahaja kepada individu itu sendiri, tetapi juga kepada masyarakat dan juga negara. Seperti yang kita tahu, remaja merupakan tunjang nergara yang akan memacu hala tuju negara. Kesan jangaka panjang dan jangka pendek pasti berlaku jika remaja pada masa kini tidak tahu menjaga maruah dan juga tatasusila.

Kesan-kesan gejala pembuangan bayi ini boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian iaitu kesan kepada bayi tersebut, ibu yang melahirkan, bapa bayi tersebut, keluarga ibu yang melahirkan, masyarakat dan seterusnya negara.

1. kesan kepada bayi yang dibuang

Anak merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga yang perlu kita hargai dan bukannya di buang sesuka hati. Tetapi, bayi ini dikatakan menjadi bebanan kepada pasangan kekasih yang telah terlanjur dan tidak mahu bertanggungjawab di atas keterlanjuran mereka. Jalan singkat yang mereka fikira boleh melepaskan mereka daripada masalah adalah dengan cara membuang bayi yang tidak berdosa tersebut.

Sikap tidak berperikemanusiaan mereka akan menyebabkan bayi tersebut menerima tempiasnya. Pertamanya, bayi tersebut akan berhadapan dengan ajal dalam keadaan yang sangat menyedihkan akibat perbuatan manusia yang tidak mempunyai hati nurani. Bayi-bayi ini dibuang di tempat yang tak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih kecil dan tidak kuat daya tahan badan. Sebagai contoh, bayi-bayi malang ini dibuang di hutan, di dalam tandas, sungai, rumah kosong dan sebagainya.

Seterusnya, jika bayi yang dibuang tersebut masih hidup, mereka akan berhadapan dengan tekanan jiwa. Hal ini kerana status sebagai ‘anak pungut’, ‘anak haram’, dan pelbagai gelaran yang negatif akan terus menghantui mereka. Mereka akan mengalami tekanan jiwa kerana sering diejek oleh rakan-rakan mereka yang lain. Apakah dosa mereka sehingga mereka terpaksa menanggung bebanan jiwa sebegini? Mereka tidak bersalah, mereka tidak berdosa dan mereka tidak meminta untuk dilahirkan ke dunia yang fana ini. Mereka terpaksa menanggung malu di sebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab ibu dan bapa mereka. Mereka terpaksa menanggung pelbagai kesusahan hanya kerana menjadi anak pungut.

Menurut artikel ‘Dilema Anak Tong Sampah’, yang diterbitkan dalam Harian Metro bertarikh 1 Mac 2010, Khairul, 23, meluahkan,

‘Kalau dilahirkan hanya untuk dihina, dicaci dan ditipu masyarakat, lebih baik kami dibiarkan mati saja. Kadang-kadang saya rasa ada baiknya juga bayi dibuang ibu bapa itu meninggal dunia supaya dia tidak perlu menghadapi kesukaran hidup seperti yang saya alami kini’

Dalam artikel itu juga ada menyatakan Khairul tidak tahan dengan dugaan yang tidak putus-putus hanya kerana dia bergelar anak pungut yang dijumpai dalam tong sampah. Dia mengalami kesusahan mencari pekerjaan dan terpaksa menanggung tomahan daripada masyarakat. Kakak iparnya sendiri mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya dan menidakkan haknya untuk menjaga anak kandungnya sendiri hanya kerana statusnya sebagai anak tong sampah. Lihatlah kesan yang terpaksa ditangung oleh anak pungut akibat kerakusan nafsu dan sikap tidak mahu bertanggungjawab ibu bapa mereka.

Bayi yang dibuang juga akan mengalami krisis identiti. Hal ini terjadi kerana mereka tidak mengenal agama dan juga keturunan mereka. Mereka tidak mengenal ibu bapa kandung mereka, bagaimana mereka hendak tahu asal usul mereka? Yang mereka tahu, mereka adalah anak tong sampah, anak pungut dan sebagainya. Hal ini menyebabkan mereka mengalami krisis dalaman dan juga tidak tahu status dan juga agama mereka. Yang mereka tahu, mereka mengikut agama keluarga angkat ataupun mengikut sahaja apa-apa agama yang diajar oleh pusat asuhan mereka. Bayangkan jika bayi tersebut berasal daripada keturunan yang beragama Islam, tetapi dibela oleh orang yang buka beragama Islam. Maka, bertkarlah agama bayi tersebut tanpa kerelaannya.

Bukan itu sahaja, bayi atau anak pungut itu tadi akan berdepan dengan kesusahan ketika hendak berkahwin. Hal ini kerana mereka tidak tahu keturunan mereka. Ada masyarakat yang tidak boleh menerima anak pungut sebagai menantu mereka. Banyak kes terjadi di mana bakal mertua mereka tidak merestui perkahwinan yang bakal dilangsungkan hanya kerana mereka tidak mempunyai salasilah keluarga. Bagi yang beragama Islam pula, yang perempuan akan menghadapi kesukaran mencari wali yang sah sehingga terpaksa menggunakan wali hakim. Hal ini akan mendatangkan pelbagai masalah kepada anak yang dibuang tersebut.

Akibat daripada tekanan emosi dan pelbagai kesusahan yang dihadapi oleh anak yang dibuang itu tadi, mereka mungkin terjerumus ke dalam lembah yang lebih hina. Kerana, tekanan daripada masyarakat sekeliling menyebabkan mereka hilang arah tuju. Sebagai contoh, mereka boleh bertindak ganas terhadap orang lain dan juga terjebak dalam masalah sosial. Menurut Harian Metro arikh 14 November 2007, tingkah laku ganas itu adalah akibat daripada cetusan perasaan baru untuk mencapai kesempurnaan dan juga perhatian. Menurut artikel itu lagi, perlakuan ganas ini dianggap normal dan meresahkan pakar psikologi.

Hal ini juga disokong melalui artikel lain yang dimuatkan dalam Harian Merto bertarikh 1 Mac 2010, seorang ‘anak pungut’ atau ‘anak tong sampah’ menyatakan bahawa jika semua anak pungut menerima seperti dirinya, nescaya lebih banyak masalah sosial akan berlaku di negara ini, yang lelaki akan menjadi pencuri dan penjenayah, manakala yang perempuan akan menjadi pelacur. Beliau juga menambah, jika mereka melakukan kesalahan, mereka akan dipenjara. Sekurang-kurangnya, mereka akan diberikan makan dan minum setiap hari dan mereka tidak perlu menahan lapar. Kesan pembuangan bayi yang ini terjadi terhadap individu yang dibuang, tetapi nescaya akan membabitkan negara jika masalah sebegini berlaku dalam kalangan anak pungut tersebut.

2. kesan kepada ibu bayi

Kesan pembuangan bayi ini juga dapat dilihat kepada ibu bayi itu sendiri. Wanita tersebut akan mengalami tekanan emosi kerana membuang anak sendiri. Pada mulanya, mungkin si ibu bertindak nekad membuang bayinya hanaya kerana ingin menutup malu. Tapi, lama kelamaan, naluri keibuan yang ada pada diri wanita akan menyebabkan seseorang itu menyesal atas keterlanjurannya membunuh anak sendiri. Apabila sudah menyesal, wanita tersebut akan menjadi murung dan berkemungkinan menjadi gila. Ada juga kes ibu bayi tersebut menjadi gila setelah membunuh bayinya. Hampir setiap malam wanita itu bermimpi mayat bayinya memburu dirinya. Hal ini adalah disebakan rasa sesal dalam diri wanita tersebut lantas menyebabkan gangguan jiwa.

Selain itu, ibu bayi tersebut berkemungkinan menghadapi gangguan kesihatan. Rasionalnya, kebanyakan atau boleh dikatakan semua ibu yang mengandungkan anak luar nikah akan bersalin seorang diri tanpa bantuan doktor. Mereka akan bersalin di dalam tandas, di rumah dan di tempat-tempat yang terpencil. Tanpa ubat-ubatan dan tenaga perubatan, mereka melahirkan zuriat mereka. Hal ini amat berisiko tinggi kerana mereka bakal berhadapan dengan jangkitan kuman. Sepeti yang kita tahu, apabila di hospital, terdapat pelbagai alatan yang diseterilkan. Hal ini akan menyebabkan kuman gagal berjangkit. Tetapi, apabila mereka bersalin secara bersendirian, mereka akan terdedah kepada jangkitan kuman yang akan merebak menganggu kesihatan mereka.

Selain itu, akibat bersalin secara bersendirian tanpa bantuan pakar perubatan, golongan ini akan berisiko berperang dengan maut sekiranya pendarahan secara melampau berlaku. Jika terjadinya hal tersebut, wanita itu akan kehilangan darah dengan banyak. Seterusnya, mengakibatkan kematian. Hal ini kerana, mereka bersalin secara bersendirian dan tidak dibantu oleh doktor.

Seterusnya, ibu bayi tersebut juga akan berdepan dengan dosa yang amat berat kerana telah membunuh. Mana-mana agama sekalipun melarang pembunuhan dilakukan. Islam juga melarang perbuatan membuang dan juga mengggurkan bayi. Ianya merupakan dosa besar kerana membunuh dengan sengaja sebagaimana yang telah disebut dalam Al Quran, surah A.-Nisa ayat 93:

Maksudnya:Dan sesiapa yang membunuh mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".

Ibu bayi itu juga bersifat seperti haiwan kerana sanggup membuang anak sendiri, sedangkan haiwan juga tahu mengasihani dan menyayangi anak mereka. Ibu bayi itu akan berhadapan dengan kemurkaan Allah, sepertimana firman Allah dalam surah Al- A’araf ayat 179:

Maksudnya: Sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakkannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (bukti keesaan allah) dan mereka mempunyai telinga(tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan,bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai".

Seterusnya, ibu bayi itu juga akan berhadapan dengan tindakan undang-undang jika di dapati bersalah membuang bayi. Ibu bayi tersebut akan diheret ke muka pengadilan disabitkan kesalahan membuang bayi. Jika disabitkan kesalahan, ibu bayi tersebut akan dikenakan hukuman mati. Menurut Berita Harian bertarikh 13 Ogos 2010, dalam artikel yang bertajuk ‘Hukuman Mati Kes Buang Bayi’,

‘Kabinet telah memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat. Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.’

Menurut Utusan Malaysia bertarikh 13 Ogos 2010 juga, dalam artikel yang bertajuk ‘Hukum Mati Jika Sabit Kesalahan’, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata:

‘Penguatkuasaan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu mendapat persetujuan Jemaah Menteri semalam. Menurutnya, penguatkuasaan mengikut seksyen tersebut membuktikan kerajaan serius mengekang gejala pembuangan bayi daripada berleluasa.’

3. kesan kepada bapa bayi

Bukan sahaja ibu bayi yang akan menanggung akibat, tetapi ayah bayi tersebut juga tidak akan terlepas daripada hukuman. Menurut Berita Harian bertarikh 13 Ogos 2010, dalam artikel bertajuk ‘Hukuman Mati Kes Buang Bayi’, polis akan menggunakan ujian DNA bagi mengenal pasti ibu dan bapa bayi yang dibuang. Jadi, pihak lelaki akan turut sama terlibat dan tidak boleh melarikan diri lagi.

4. kesan kepada keluarga pelaku

Kesan pembuangan bayi ini bukan sahaja dapat dilihat dari aspek bayi yang dibuang, ibu yang melahirkan, tetapi juga dapat dilihat dari aspek keluarga wanita yang melahirkan anak luar nikah tersebut. Keluarga ibu bayi tersebut akan menangung malu akibat daripada perbuatan anak mereka. Mereka bukan sahaja terpaksa menanggung malu kerana anak mereka berzina dan hamil sebelum berkahwin, tetapi mereka juga terpaksa menanggung malu akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab anak mereka membuang bayi yang tidak berdosa.

Seterusnya, akan berlaku keruntuhan institusi kekeluargaan disebabkan wujudnya suasana tidak harmoni dalam kekeluargaan. Keluarga tersebut pasti akan dicemuh jiran sekeliling menyebabkan mereka berasa malu untuk bergaul dengan orang ramai lagi. Mungkin juga akan berlaku penceraian kerana suami isteri saling meyalahkan anatara satu sama lain. Si suami menyalahkan isterinya kerana tidak tahu menjaga anak, sehingga menyebabkan anak mereka sangup menconteng arang di muka mereka, manakala si isteri pula menyalahkan suami kerana tidak memantau aktiviti anak mereka dan hanya tahu bekerja sahaja. Apabila penceraian berlaku, maka runtuhlah institusi kekeluargaan dalam sesebuah keluarga.

Akibat daripada penceraian yang berlaku, maka anak-anak akan terbiar dan berkemungkinan mengalami tekanan emosi. Mereka juga berasa bebas kerana ibu bapa mereka sudah bercerai. Maka, mereka akan terdedah kepada gejala sosial kerana terpengaruh dengan rakan sebaya dan tiada siapa yang mengawal tingkah laku mereka. Lantas, akan wujudlah generasi yang mengulangi perbuatan yang sama. Sebagai contoh, dalam sesebuah keluarga, si kakak telah menconteng arang ke muka ibu bapanya. Lalu, akibat tidak tahan dengan tekanan, ibu dan bapa perempuan tersebut mengambil keputusan untuk bercerai. Apabila penceraian berlaku, anak-anak akan terbiar dan lebih bebas. Lalu, adik kepada remaja perempuan itu tadi berkemungkinan mengulangi kesilapan kakaknya kerana keruntuhan institusi kekeluargaan yang dihadapi oleh keluarga mereka. Maka, wujudlah generasi yang berkelakuan sama.

5. kesan kepada masyarakat

Kesan pembuangan bayi yang semakin berleluasa ini juga boleh dilihat dari aspek masyarakat. Jika gejala ini tidak dibendung, akan wujudlah masyarakat yang tidak bertamadun kerana nilai kemanusiaan tidak lagi diutamakan. Jika kes pembuangan bayi terus meningkat dalam kalangan sesuatu masyarakat, masyarakat itu akan dilihat sebagai masyarakat yang tidak mempunyai nilai-nilai kemanusiaan kerana sanggup membunuh bayi yang baru hendak mengenal dunia. Masyarakat itu tidak ubah seperti masyarakat yang tidak bertamadun pada zaman dahulu. Masyarakat itu juga boleh disamakan dengan masyarakat pada zaman jahiliyah yang sememangnya bersifat tidak berperikemanusiaan.

Seterusnya, masyarakat akan dipandang hina jika berlakunya kes pembuangan bayi dalam kalangan masyarakat tersebut. Bak kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Apabila wujudnya golongan yang tidak berperikemanusiaan dalam sesebuah masyarakat, maka seluruh masyarakat tersebut akan menerima tempiasnya. Sebagai contoh, dalam kalangan masyarakat Melayu ada terjadinya kes pembuangan bayi. Sebagai akibat, seluruh masyarakat Melayu akan dipandang hina oleh masyarakat yang lain.

Kes pembuangan bayi ini juga akan menjejaskan imej dan kredibiliti masyarakat. Masyarakat pastinya berasa malu dan kecewa dengan apa yang berlaku dalam kalangan masyarakat mereka. Sudah semestinya remaja yang menjadi penyumbang utama dalam kes pembuangan bayi ini, tetapi, masyarakat akan menerima akibatnya hasil daripada kegiatan tidak bermoral para remaja dalam kalangan masyarakat tersebut. Hal ini secara tidak langsung akan menimbulkan persepsi negatif orang luar terhadap kredibiliti masyarakat setempat dalam membendung kes-kes seperti ini berlaku.

Keharmonian dalam masyarakat juga tidak akan wujud kerana masyarakat akan berprasangka buruk sesama sendiri. Apabila berlakunya kes pembuangan bayi dalam sesebuah masyarakat, maka masyarakat tersebut akan saling mencurigai antara satu sama lain. Apabila terjadinya situasi sebegini, masyarakat tidak lagi hidup dalam keadaan aman dan tenteram kerana sifat mencurigai antara satu sama lain telah bersarang di dalam hati mereka.

6. kesan kepada negara

Tidak dapat dinafikan, pembuangan bayi juga memberi kesan yang sangat besar kepada negara. Rasionalnya, jatuh bangun sesebuah negara itu bergantung sepenuhnya kepada akhlak remaja atau generasi pada waktu sekarang. Antara kesan yang pastinya berlaku ialah pembangunan negara akan terbantut serta ekonomi negara sukar untuk berkembang disebabkan wujudnya gejala pembuangan bayi ini. Tambahan pula, perbelanjaan kerajaan turut meningkat untuk menampung bayi yang diletakkan di rumah kebajikan masyarakat. Hal ini kerana, bayi yang dijumpai biasanya ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat sebagai penempatan sementara. Duit yang sepatutnya boleh digunakan untuk pembangunan negara telah digunakan untuk menampung perbelanjaan bagi menangani gejala ini. Pada masa yang sama, ibu bapa bayi tersebut dicari dan sekiranya tidak dijumpai, maka, rumah kebajikan masyarakat pastinya menjadi penempatan kekal mereka. Perkara seperti ini pastinya membebankan pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan dari segi kewangan.

Selain itu, apabila wujudnya gejala pembuangan bayi ini, kerajaan akan mengambil langakah mengatasi seperti mengadakan kempen dan sebagainya. Semua itu memerlukan wang. Sebagai contoh, kempen kami prihatin yang telah dilancarkan baru-baru ini. Terdapat juga lagu yang dihasilkan khas bagi membendung masalah ini. Bayangkan, kerajaan terpaksa berhabis wang untuk menyiapkan poster, iklan, lagu dan sebagainya. Hal ini akan mengakibatkan negara mengalami kemunduran dari segi ekonomi.

Seterusnya, negara akan kehilangan generasi pelapis yang bakal mencorakkan hala tuju negara. Hal ini disebabkan oleh remaja sekarang berakhlak buruk. Bagaimana mereka hendak memimpin negara? Selain itu, bayi-bayi yang dibuang itu adalah generasi pelapis negara. Jika mereka dibiarkan dibunuh dengan sewenang-wenangnya, maka, populasi generasi pelapis akan berkurangan. Hal ini akan menyebabkan kerugian kepada negara.

Selain itu, negara juga akan reputasi negara juga akan terjejas. Seperti yang kita tahu, negara Malaysia merupakan negara Islam. Jika wujudnya gejala pembuangan bayi ini, reputasi negara kita sebagai negara Islam akan terjejas di serata dunia. Negara lain tidak akan memandang tinggi lagi status negara kita sebagai negara Islam disebabkan oleh gejala pembuangan bayi ini. Negara lain akan berpendapat bahawa negara Islam juga mempunyai penduduk yang tidak bermoral dan tidak berakhlak mulia, sedangkan negara lain yang bukan berstatus negara Islam tidak mempunyai kes pembuangan bayi.

4 comments:

Nurulbadiah Lai said...

kenapakah..mengapakah..mereka tergamak buat mcm tu..sedih fikirkn psl mereka2 yang buang bayi mereka..sampainya hati

cHoc0^miNT said...

itu laa..haiwan pun tahu sayangkan anak...

NAD_YA said...

huuu~ terima kasih banyak2 !
penat cari kesan . jumpe kat sini. :)

cik chocomint said...

:) wlcm..glad 2 help..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...